Ketua jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Tuchel, berkata dia tidak gembira dengan reaksi ganas pasukannya selepas insiden pergaduhan dengan pemain Marseille awal pagi tadi yang turut menyaksikan juara bertahan Ligue 1 itu tewas buat kali kedua berturt-turut.

Bintang PSG, Neymar, merupakan antara lima pemain yang dilayangkan kad merah dalam waktu kecederaan perlawanan Le Classique di Parc des Princes itu.

Marseille menamatkan kemarau 20 perlawanan tanpa kemenangan ke atas seteru tradisi, PSG, sebelum tiga pemain pasukan tuan rumah itu, Neymar, Leandro Paredes, Layvin Kurzawa, dilayangkan kad merah selain Jordan Amavi dan Dario Benedetto turut menerima nasib sama susulan ketegangan berkenaan.

Selepas akur tewas gara-gara jaringan tunggal Florian Thauvin pada minit ke-31, Tuchel enggan memperbesarkan kekalahan itu walaupun PSG membuka kempen 2020-21 dengan dua kekalahan berturut-turut.

"Saya langsung tidak marah, cabarannya adalah untuk memisahkan prestasi dan keputusannya," katanya kepada Telefoot.

"Saya tidak menggemari reaksi kami pada tiga minit terakhir. Saya tidak bersetuju dengan cara itu. Ia keterlaluan. Saya amat kecewa dengan reaksi seperti itu."

Tuchel, yang pasukannya tewas dua perlawanan pertama Ligue 1 tanpa menjaringkan sebarang gol buat kali pertama sejak musim 1978-79, menambah: "Saya tidak menggemari keputusan ini. Kami mempamerkan permainan yang hebat, prestasi yang hebat.

"Saya amat gembira dengan usaha pasukan saya. Jika kami terus bermain seperti ini, kami akan memenangi semua perlawanan, saya amat gembira.

"Ia bukan satu kebiasaan apabila kami tidak menjaringkan gol. Kami perlu kembali kepada konteks perlawanan ini.

"Kami memiliki statistik yang hebat. Ia perlawanan yang hebat. Saya tidaklah terlalu risau.

"Sebagai jurulatih, saya gembira. Kami masih kekurangan pemain, kami hanya memiliki skuad kecil," katanya.