Yaya Toure mengakui dia agak takut memikirkan mengenai Manchester City menjelang aksi pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah menentang Real Madrid.

City melepasi peringkat kumpulan tanpa kalah, menang empat daripada enam perlawanan dan menyumbat 16 gol untuk mengatasi Atalanta, Shaktar Donetsk dan Dinamo Zagreb.

Bagaimanapun, skuad kendalian Pep Guardiola itu berdepan cabaran yang dilihat paling sukar apabila bakal menentang juara 13 kali, Real Madrid, yang hanya menamatkan saingan Kumpulan A di tempat kedua di belakang Paris Saint-Germain (PSG).

Los Blancos belum pernah tewas dalam pusingan kalah mati Liga Juara-Juara di bawah bimbingan Zidane -- yang mengungguli saingan itu tiga musim berturut-turut sewaktu mengendalikan gergasi LaLiga itu sebelum ini dan kembali mengendalikan pasukan itu Mac lalu -- tatkala keupayaan Real di pentas Eropah menerbitkan rasa takut dalam diri Toure buat bekas kelabnya, City.

"Saya mahu City berdepan Lyon atau pasukan seperti itu tetapi Real akan menjadi lawan sukar. Sangat sukar," katanya.

"Namun, lihat nanti. Aksi pertama di Santiago Bernabeu, kemudian akan melakukan perhitungan di Etihad.

"Real Madrid mampu menyingkirkan kami. Mereka benar-benar boleh kerana kami menjangkakan Real akan mara ke suku akhir, separuh akhir tetapi kini berdepan City.

"Sejujurnya, saya agak takut."


Perlawanan pertama akan diadakan pada 26 Februari ini sambil Real akan bertandang ke Manchester pada 17 Mac depan.

Musim lalu, Los Blancos disingkirkan dalam pusingan 16 oleh Ajax sehingga memaksa gergasi LaLiga itu kembali mendapatkan sentuhan Zidane.

Legenda Perancis itu kini melalui 15 perlawanan LaLiga tanpa kalah dan Toure teruja dengan aksi Los Blancos ketika mengikat PSG 2-2, November lalu walaupun selepas ketinggalan dua gol.

"Kali terakhir saya menyaksikan mereka sewaktu menentang PSG dan ia sangat bagus," tambahnya.

"Walaupun PSG mendahului dua gol, akhirnya mereka berjaya mengikat kedudukan. PSG adalah pasukan yang benar-benar hebat.

"Saya fikir PSG akan mara ke separuh akhir atau final. Kami tidak tahu. Mereka bermain sangat baik dan memiliki jurulatih yang bagus.

"Saya harap City akan melepasi halangan Real tetapi ini adalah ujian yang sangat besar."