Jurulatih Korea Utara, Jorn Andersen, hanya memikirkan untuk mencipta satu lagi kemenangan bagi meletakkan mereka dalam laluan selesa ke Piala Asia 2019, sekaligus memberikan amaran buat Harimau Malaya bahawa tiada belas ihsan buat mereka dalam pertemuan malam ini.

Korea Utara kini menduduki tangga ketiga Kumpulan B selepas memungut lima mata, berkongsi jumlah dengan pesaing terdekat, Hong Kong.

Justeru, tiga mata berdepan pasukan negara pasti meletakkan mereka dalam situasi selesa tatkala Hong Kong terpaksa berdepan pendahulu, Lubnan.

Andersen mengingatkan Harimau Malaya bahawa mereka akan turun dengan kekuatan skuad yang sama seperti aksi pertama pada Jumaat lalu dalam misi mencari kemenangan.

“Kami akan meraih lapan mata sekiranya mencatat kemenangan pada malam ini dan meletakkan kami dalam kedudukan yang selesa.

“Kami berada dalam situasi terbaik untuk ke Piala Asia 2019,” ujar Andersen.

Sementara itu, penyerang Korea Utara, Kim Yu Song, berkata mereka akan terus menggunakan kekuatan dalam situasi bola mati sebagai senjata utama dalam mendapatkan jaringan.

“Kami telah mengkaji lama permainan pasukan Malaysia sejak aksi kedua-dua pasukan tertangguh beberapa bulan lalu.

“Jurulatih memberi penekanan kepada situasi bola mati dan kami mengikut sahaja arahan yang diberikan. Nyata ia berhasil dalam pertemuan sebelum ini,” kata Yu Song.