Zlatan Ibrahimovic hanya menjangkakan akan diketepikan untuk 'satu atau dua minggu' dengan kecederaan yang dialami dan penyerang Milan itu memberikan bayangan bakal kembali beraksi bersama Sweden.

Ibrahimovic mengalami kecederaan hamstring selepas meledak dua gol ketika meraih kemenangan 3-1 dalam aksi Serie A di Napoli Ahad lalu.

Terdapat kebimbangan terhadap pemain berusia 39 tahun itu bakal diketepikan selama sebulan, tetapi dia meredakan ketakutan itu selepas dinobat sebagai Pemain Terbaik Sweden buat kali ke-12.

Ibrahimovic memberitahu Aftonbladet: "Tiada apa yang serius, Hanya satu atau dua minggu sahaja."

Penyerang veteran itu sebelum telah memberikan bayangan bakal menamatkan persaraan daripada kancah aksi antarabangsa dengan memuatnaik gambar dirinya menyarung jersi Sweden dan mengungkapkan, "Sudah lama tidak berjumpa."


Jurulatih Sweden, Janne Andersson, membalas dengan berkata bekas pemain Barcelona dan Manchester United itu perlu membuktikan dia mahu kembali beraksi untuk negaranya sebelum bercadang mendapatkan semula khidmatnya.

Ibrahimovic sekali lagi menunjukkan bahawa dia berminat untuk kembali ke pentas antarabangsa menjelang Euro 2020 yang ditangguhkan tahun depan, setelah terakhir mewakili negaranya di Euro 2016.

"Ya, saya merindui pasukan kebangsaan. Ia bukan lagi satu rahsia.

"Saya mahu berada di Friends Arena, Saya mahu ia menjadi Yellow Wall atau apa yang kita kini memanggilnya. Anda keluar, anda mempunyai baju berwarna kuning dan anda melihatnya... Adakah saya terlepas? Sudah tentu.

"Mereka yang tidak merinduinya -- sudah menamatkan kariernya, dan perjalanan saya masih belum berakhir."