Luis Suarez diberikan lampu hijau untuk beraksi bersama Barcelona untuk baki 11 perlawanan terakhir musim 2019-20 setelah pulih daripada pembedahan yang dijalani Januari lalu.

Suarez menjalani pembedahan meniskus lutut kanannya pada awal tahun ini, setelah dilaporkan mengalami kecederaan itu sejak beberapa bulan sebelumnya.

Selepas menjalani pembedahan, Barca mengesahkan Suarez memerlukan empat bulan untuk pulih dan dijangka terlepas baki musim ini.

Bagaimanapun, penangguhan saingan ekoran pandemik koronavirus yang bakal berakhir minggu depan, Suarez telah disahkan dapat diturunkan untuk baki saingan musim ini.

Satu kenyataan Barca yang dikeluarkan semalam: "Luis Suarez sudah mendapat rawatan pihak perubatan. Setelah 147 hari, penyerang Uruguay itu sudah pulih dan mungkin tersedia untuk menyertai skuad kendalian Quique Setien untuk perlawanan Sabtu depan."Berikutan kecederaan yang dialami Suarez dan Ousmane Dembele, Barca menandatangani Martin Braithwaite dari Leganes di luar jendela perpindahan Februari lalu.

Pemain antarabangsa Denmark itu membuat tiga penampilan dalam saingan LaLiga sebelum penangguhan saingan, namun dia dijangka berdepan kesukaran untuk diturunkan dengan kepulangan Suarez dalam skuad utama.

Suarez, 33, kali terakhir bermain ketika tewas dalam aksi Piala Super Sepanyol 3-2 kepada Atletico Madrid, perlawanan terakhir di bawah kendalian Ernesto Valverde.

Setien menggantikan Valverde 13 Januari lalu, sehari setelah Suarez menjalani pembedahan.

Barca akan kembali ke puncak LaLiga musim 2019-20, dua mata di atas Real Madrid.