ROMA 3 MANCHESTER UNITED 2
(United mara dengan agregat 8-5)

Ole Gunnar Solskjaer berkata jadual padat perlawanan membabitkan Manchester United adalah mustahil daripada segi tuntutan fizikal barisan pemainnya sebaik mengesahkan tiket ke final Liga Europa.


Walaupun tewas 2-3 kepada Roma dalam separuh akhir kedua awal pagi tadi, United tetap melangkah ke babak akhir penentuan trofi buat julung kalinya di bawah pengurusannya berikutan kemenangan agregat 8-5 di Itali.

United menurunkan barisan terbaik di tempat lawan biar membawa bekalan 6-2 daripada pertemuan pertama, dengan Edinson Cavani meledak gol dalam setiap babak untuk membantu gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu mara biarpun sempat diancam gol Edin Dzeko, Bryan Cristante dan jaringan sendiri Alex Telles.

Selepas ini, The Red Devils perlu menghadapi tiga perlawanan liga dalam tempoh lima hari. Mereka akan mengunjungi Aston Villa pada Ahad, kemudian menjadi tuan rumah Leicester City Rabu depan disusuli pertemuan dengan Liverpool, dua hari selepas itu berikutan perlawanan hujung minggu lalu terpaksa ditangguhkan kerana protes penyokong terhadap pemilik.

Solskjaer seolah-olah memberi bayangan awal bahawa barisan pemainnya tidak mungkin dapat menampung tiga perlawanan sukar dengan kemuncak prestasi.




"(Saya) tidak pernah dengar perkara seperti ini," katanya kepada BT Sport.

"(Keputusan ini) dibuat oleh individu yang tidak pernah bermain bola sepak di tahap ini. Secara fizikalnya mustahil buat pemain.

"Kami belum dapat menangani situasi ini dengan baik. Kami memerlukan semua pemain untuk keempat-empat perlawanan ini. Ini adalah satu perubahan yang singkat tetapi kami harus bersedia."

United terkandas dalam empat separuh akhir di bawah pengurus kelahiran Norway itu termasuk Liga Europa musim lalu dan mereka memerlukan gol Cavani dan 10 aksi menyelamat penjaga gol, David de Gea, bagi mengekang Roma yang terus dalam prestasi yang tidak menentu.

"Seronok dapat ke final," katanya lagi.

"Kami beraksi dalam satu babak yang sangat bagus di Old Trafford, ia telah memacu kami. Saya kecewa kerana kami tewas kali ini, khususnya dengan corak permainan kami dalam separuh masa kedua.

"Keputusan mungkin boleh bertukar 8-6. Ini adalah satu perlawanan yang janggal. Kami menyerahkan mereka bola tetapi kami bernasib baik kerana memiliki salah seorang penjaga gawang terbaik di dunia. Kami akan berada dalam final dan menantikan 26 (27) Mei depan."

Ketua pasukan United, Harry Maguire, mengakui mereka melepaskan terlalu banyak peluang terhidang di ibu negara Itali itu sambil menghamburkan pujian tinggi terhadap sentuhan klinikal Cavani.

"Ini adalah satu pencapaian yang hebat untuk mara ke final," katanya.

"Kami tidak memenangi perlawanan ini dan ia mengecewakan tetapi kami telah bekerja keras dalam perlawanan pertama.

"Kami memulakan aksi dengan sedikit gelisah. Ia berakhir seperti bola keranjang dan kami memberikan mereka terlalu banyak ruang dalam babak kedua.

"Sekarang kami telah layak ke final dan mahu memenanginya. Edinson menjaringkan dua gol hebat melalui pergerakan dan kadar usahanya ketika tanpa bola yang sangat bagus.

"Jaringan keduanya adalah khas untuknya dan apa yang telah dilakukannya sepanjang kariernya."