'Skuad negara tidak miliki banyak pilihan' itu tegas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalinggam, mengenai kedudukan terkini skuad kebangsaan.

Pemain negara berdepan risiko menghadapi jadual yang cukup ketat musim ini dengan jadual liga yang akan bermula selain kalendar antarabangsa.

Wujud kerisauan merujuk kepada kondisi pemain negara khususnya apabila mereka terpaksa berhadapan saingan kompetetif yang padat musim ini.

Selepas melewati tempoh rehat yang lama dari saingan kompetetif, ditambah dengan penyusunan jadual yang padat dalam saingan liga, mencetus kerisauan barisan kejurulatihan skuad negara.

Namun Stuart menegaskan itu adalah pilihan terbaik yang dimiliki skuad Tan Cheng Hoe.

"Kami tidak boleh menyalahkan sesiapa kerana ia perlu diharungi dalam situasi pandemik ini. Kami memulakan saingan liga ekoran Covid-19," kata Stuart.

Apa yang pasti skuad negara turut bergantung kepada saingan liga bagi pembentukan pemain sebelum mereka menyarung jersi negara bagi merebut slot ke Piala Asia 2023.

"Saya berasakan apa dialami senario bola sepak ketika ini bukan hanya terpalit kepada Malaysia malah kepada negara-negara lain."