Perasaan Thiago Silva bercampur aduk dalam kejayaan Paris Saint-Germain (PSG) menjuarai Coupe de France, tetapi sedih dengan kecederaan Kylian Mbappe.

Penyerang itu terpaksa dikeluarkan dalam babak pertama selepas dikasari Loic Perrin ketika skuad kendalian skuad Thomas Tuchel berkenaan mengatasi Saint-Etienne 1-0 dalam perlawanan akhir, awal pagi tadi.

Biarpun bintang PSG itu mengalami kecederaan pergelangan kaki, gol Neymar pada minit ke-14 bagaimanapun memastikan kelab ibu kota Perancis tersebut merangkul trofi.

Kapten PSG, Silva, di sebalik seronok meraih gelaran itu, berharap Mbappe tidak akan diketepikan terlalu lama.

"Ia situasi yang sukar apabila perkara seperti itu berlaku. Kami sedih dengan Kylian tetapi juga gembira memenangi trofi ini," kata pertahanan berkenaan.


"Memang benar bahawa hari ini adalah satu perlawanan yang sangat sukar. Kami tidak beraksi dengan baik. Kami bertungkus lumus dan pengurus sudah pun menjelaskan dengan baik.

"Kami berasa sedih buat Kylian dan gembira dengan trofi ini. Kami mempunyai sedikit masa (untuk proses pemulihan) dan saya harap Kylian akan kembali sihat.

"Dia pemain penting buat kami."

PSG akan menghadapi Lyon pula dalam penentuan juara Coupe de la Ligue, minggu depan, sebelum menentang Atalanta dalam suku akhir UCL pada 13 Ogos.