Gylfi Sigurdsson berpendapat keputusan dalam pertemuan lalu tidak akan mempengaruhi aksi di antara Iceland dan Croatia dalam saingan Kumpulan D, awal pagi Rabu ini.

Kedua-dua negara layak ke Russia 2018 selepas melepasi peringkat kelayakan dari kumpulan yang sama, menyaksikan Iceland menduduki tangga teratas untuk mengesahkan slot ke Piala Dunia tahun ini.

Mereka terlepas tiket empat tahun lalu selepas tewas dalam kedua-dua pertemuan play-off di tangan Croatia, namun kali terakhir mereka bertemu menyaksikan skuad kendalian Heimir Hallgrimsson itu menewaskan lawan hasil jaringan pada minit terakhir oleh Hordur Magnusson pada Jun 2017.

Menjelang aksi di Rostov-on-Don, Iceland memerlukan keputusan sama untuk mengiringi Croatia ke pusingan kedua setelah harapan mereka untuk mara dikejutkan dengan kekalahan 2-0 di tangan Nigeria.

"Saya tidak rasa ia akan mengubah segala-galanya walaupun setahun lalu, kami menewaskan mereka dan tunduk kepada mereka tiga tahun lalu," kata Sigurdsson.

"Sudah pasti ia akan menjadi perlawanan yang berbeza walaupun tentunya hebat apabila kami telah membuktikan kemampuan untuk menewaskan mereka.

"Croatia sukar ditewaskan, bagus secara menyerang dan bertahan tetapi tiada apa yang merugikan kami. Ia bergantung kepada diri kami sendiri untuk mendapatkan keputusan yang baik," katanya.

Sambil mengharapkan dapat mengharungi kempen sulung dalam Piala Dunia melebihi peringkat kumpulan, Sigurdsson juga percaya pencapaian pasukannya telah memberikan impak kepada generasi akan datang di negaranya.

"Sudah pasti ia akan menjadi satu pencapaian hebat jika mampu layak dari kumpulan ini tetapi berada di pentas Piala Dunia telah membantu generasi muda di Iceland.

"Bagi mereka, peluang menyaksikan skuad kebangsaan beraksi dalam Piala Dunia adalah sesuatu yang hebat dan ia sukar digambarkan ketika saya kecil. Pengalaman ini memberi kesan positif," tambahnya.