Luke Shaw telah berbicara tentang 'penyesalan terbesar' kerana menarik diri daripada pasukan England pada masa lalu ketika bek kiri itu dalam usaha menebus semula masa yang hilang.

Pertahanan Manchester United, Shaw, membuat penampilan pertama di peringkat antarabangsa sejak September 2018 dalam kemenangan Three Lions 2-0 aksi kelayakan Piala Dunia ke atas Albania Ahad lalu, melakukan lorongan buat jaringan pembukaan Harry Kane.

Shaw melakukan debut pada 2014, tetapi sekadar meraih kap kesembilan Tirana ketika skuad kendalian Gareth Southgate itu meraih dua kemenangan daripada dua perlawanan.

Pemain berusia 25 tahun itu bergelut dengan kecederaan sejak berhijrah ke United dari Southampton tetapi mula tampil sebagai pilihan utama menjelang saingan Euro 2020 Jun ini.

Shaw berasakan dia telah terlepas peluang mewakili England sekali dan berazam untuk tidak melepaskan peluang itu kali ini.


"Keluarga saya [dan saya] mengadakan beberapa perbincangan dan berfikir bahawa mungkin saya tidak dapat masuk ke dalamnya [skuad England].

"Tetapi jauh di lubuk hati saya selalu percaya bahawa saya boleh dan saya bekerja keras, dan berasakan lega Gareth memberi saya peluang sekali lagi. Mudah-mudahan saya dapat menarik perhatiannya dan mempertaruhkan kemampuan saya untuk berada dalam skuad.

"Saya mempunyai penyesalan yang besar. Saya tidak dapat berhenti memikirkan kesalahan yang pernah saya buat pada masa lalu, terutamanya dengan England. Saya menarik diri daripada banyak kem latihan sebelum ini. Saya mungkin tidak berada dalam keadaan terbaik.

"Saya fikir sejak dua tahun kebelakangan ini saya memikirkannya sehingga menjadi penyesalan terbesar saya, dan tentu saja membiarkan Gareth kecewa.

"Saya cuba terus berhubungan dengannya untuk memberi tahu dia bahawa keadaan telah berubah. Dia berkata dia memilih saya berdasarkan prestasi saya. Masa lalu adalah masa lalu dan semoga kita melupakannya sekarang dan hanya boleh fokus pada masa depan dan saya mahu terus mengagumkannya."