Pertahanan kebangsaan, Muhammad Shahrom Kalam, menyambut baik kehadiran semula beberapa tonggak berpengalaman untuk aksi kelayakan Piala Asia berdepan Korea Utara di Thailand pada 10 dan 13 November ini.

Bagi pertahanan Perak itu, kehadiran semula beberapa pemain berpengalaman daripada skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) seperti Mohamad Fadhli Shas, Fazly Mazlan dan S. Kunanlan membolehkan skuad negara membentuk barisan lebih seimbang bagi aksi kali ini.

Shahrom adalah antara 14 pemain yang dikekalkan ketika berdepan Hong Kong pada 10 Oktober lalu dan dia berpendapat situasi itu akan turut meningkatkan moral pemain untuk dua aksi getir dengan Korea Utara.

“Bagi saya, ia satu perkara yang positif kerana mampu mewujudkan persaingan yang sengit di setiap posisi.

“Kami akan menentang Korea Utara dan mereka jelas bukan pasukan yang mudah ditewaskan, jadi kami harus lebih bersedia,” ujar Shahrom.

Bagi pengendali pasukan negara, Nelo Vingada, dia yakin 12 pemain JDT dan dua pemain dari Kedah yang akan menyertai pasukan pada hari ini, tidak berdepan masalah untuk melalui proses pemulihan sebelum berdepan Korea Utara.

Apa yang membimbangkan Vingada adalah kebarangkalian ada antara mereka yang mengalami kecederaan selepas aksi final Piala Malaysia, Sabtu lalu.

“Buat masa sekarang, kami sedang menunggu pasukan perubatan melakukan ujian untuk memastikan pemain-pemain cergas atau tidak.

“Saya tidak boleh mengesahkan apa-apa perkara tetapi sebarang perkembangan akan diketahui dalam masa terdekat,” kata Vingada.