Quique Setien menerima masa depannya di Barcelona kini bukan dalam tangannya, selepas Presiden kelab, Josep Maria Bartomeu, memberikan bayangan perubahan akan dilakukan selepas penyingkiran yang memalukan daripada saingan Liga Juara-Juara (UCL).

Barca tersingkir dengan penuh bergaya daripada saingan UCL, tewas 8-2 kepada Bayern Munich dalam aksi suku akhir awal pagi tadi, selepas mengharungi musim yang mengecewakan.

Kekalahan itu menyaksikan Setien -- yang dilantik Januari lalu sebagai pengganti Ernesto Valverde -- kini berada di ambang, dengan Barca gagal meraih sebarang trofi buat pertama kali sejak musim 2007-08.

Walaupu Setien menerima kekalahan itu menutup peluangnya untuk kekal, dia turut menegaskan tiada masa untuk membincangkan masa depannya.

"Ia merupakan kekalahan yang mengecewakan. Mereka menjaringkan banyak gol. Kami bermula baik tetapi kemampuan pasukan lawan telah mengatasi kami," katanya.

"Saya berasakan buat masa ini masih terlalu suntuk untuk membincangkan sama ada saya kekal atau sebaliknya. Realitinya ia tidak bergantung kepada saya.

"Saya menyedari apa maksud di sebalik kekalahan ini. Apa yang telah berlaku perlu dinilai daripada perspektif yang sangat luas."