Ketua jurulatih Inter Milan, Antonio Conte, enggan menyalahkan pemainnya selepas mensia-siakan kelebihan untuk diikat Hellas Verona 2-2 dalam perlawanan Serie A di Stadio Marcantonio Bentegodi awal pagi tadi.

Skuad Nerazzurri itu mendahului sehingga lima minit terakhir tetapi Miguel Veloso memaparkan ketenangannya untuk mencuri satu mata buat pasukan tuan rumah itu.

Inter berada di depan pada awal babak kedua hasil penyudah Antonio Candreva dan gol sendiri Federico Dimarco selepas Darko Lazovic memberikan pendahuluan buat Verona pada minit kedua.

Ia merupakan kali kedua dalam tempoh lima hari Inter mensia-siakan kelebihan selepas tewas 1-2 kepada Bologna hujung minggu lalu tetapi Conte enggan mengkritik pasukannya.

"Daripada segi usaha, keinginan dan keazaman, saya tiada rungutan," katanya kepada Sky Sport Italia.

"Jangan lupa, kami berdepan Verona yang sentiasa bermain dengan rentak yang tinggi dan ia merupakan kekuatan utama mereka.

"Saya fikir Inter telah berusaha untuk menyaingi mereka.

"Terdapat kesesalan kerana kami dibolosi daripada lontaran ke dalam pada lima minit terakhir.

"Ia situasi yang mengecewakan kerana anda kehilangan mata dan mereka pula menambah mata.

"Kami lebih layak memenangi perlawanan ini.

"Verona jarang melakukan percubaan ke gawang kami dalam babak kedua.

"Kami dibolosi kerana lontaran ke dalam yang melintangi ke arah pemain di tengah kotak.

"Saya tidak mahu bercakap banyak kerana sesetengah orang menuduh saya sentiasa mengkritik, mengkritik dan mengkritik.

"Saya tidak mahu perkara itu. Saya hanya mahu membantu semua orang meningkat dan bergerak ke depan," katanya.

Inter keciciran 20 mata sejak mendahului Serie A musim ini dan Conte sedar masalah itu perlu diselesaikan secepat mungkin.

"Kami sedang melakukan tugas yang penting dan saya sedang menumpukan kepadanya.

"Saya fikir anda dapat lihat keputusan daripada apa yang kami lakukan.

"Kehilangan 20 mata itu sepatutnya mendorong kami untuk bangkit dan terus meningkat.

"Kami sedar kami kehilangan mata dengan cara yang bodoh sepanjang musim ini.

"Jika tidak, kita akan berbincang mengenai kempen yang amat berbeza," tambahnya.