Maurizio Sarri memuji prestasi yang dipamerkan Aaron Ramsey selepas pasukannya, Juventus, menewaskan Inter Milan 2-0 dalam perlawanan Serie A di Turin awal pagi tadi dengan berkata pemain kebangsaan Wales itu telah meningkatkan tahap kecergasannya untuk mengetuai jentera tengah skuad Bianconeri berkenaan.

Ramsey menjaringkan gol kedua berturut-turut dalam dua perlawanan Serie A dengan menghasilkan jaringan pembukaan Juve dalam perlawanan "Derby D'Italia" itu selepas turut melakukannya ketika menentang SPAL.

Dia kemudian membantu Paulo Dybala menjaringkan gol kedua tuan rumah dan Sarri menganggap percaturannya meletakkan Ramsey di bahagian tengah bersama dua pemain lain telah membuahkan hasil berbanding ketika meletakkan pemain itu di belakang penyerang utama.

"Dia (Ramsey) mengekalkan apa yang diperlukan untuk melihat lebih banyak apa yang berada di depannya. Jika tidak, dia akan hilang arah," kata ketua jurulatih Juve itu.

"Dia dapat memainkan peranannya dengan baik dan untuk lebih jujur, dia juga berada dalam kondisi fizikal yang lebih baik berbanding ketika dia bertindak sebagai trequartista.

"Saya hampir mengeluarkan Dybala sebelum Ramsey menjaringkan gol tetapi saya memilih untuk mengekalkannya kerana saya rasa ia masa untuk kami menamatkan perlawanan ini.

"Inter cuba memberikan kami tekanan di bahagian depan dalam babak pertama dan mungkin menggunakan terlalu banyak tenaga untuk melakukannya.

"Inersia perlawanan ini berubah selepas gol itu, kami memiliki tempoh 20 minit yang sangat hebat dan mula memperoleh keyakinan manakala Inter kehilangannya sepanjang tempoh itu.

"Ia seuatu yang amat positif di mana kami tidak membenarkan pasukan berkualiti seperti Inter melakukan sebarang percubaan tepat ke gawang kami," katanya.