Maurizio Sarri berang dengan hantaran perlahan Juventus selepas pasukan itu tewas 0-1 kepada Lyon dalam perlawanan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah di Stadium Groupama awal pagi tadi.

Pendahulu Serie A itu memaparkan aksi tidak bernafsu dan seakan-akan tiada jawapan untuk membalas jaringan permbukaan Lucas Tousart pada minit ke-31.

Cristiano Ronaldo berusaha keras di bahagian serangan tetapi tidak mampu untuk menghalang Juve menamatkan perlawanan itu tanpa sebarang percubaan tepat ke gawang lawan.

Sarri kecewa dengan keputusan itu dan terkejut dengan hantaran perlahan pasukannya, yang jauh berbeza dengan sesi latihan.

"Amat sukar untuk menjelaskan sebabnya tetapi dalam babak pertama, kami menggerakkan bola dengan amat perlahan dan pihak lawan dapat melakukan tekanan, memenangi bola dan menjaringkan gol," katanya kepada Sky Sport Italia.

"Kami kekurangan keazaman dan tidak agresif ketika menyerang, dan terdapat tempoh selama 15 minit di mana pertahanan kami juga lemah.
"Aksi dalam babak kedua lebih baik tetapi belum cukup untuk memenangi perlawanan dalam Liga Juara-Juara.
"Saya tidak faham mengapa saya tidak dapat memahamkan pemain mengenai kepentingan untuk menggerakkan bola dengan lebih pantas.

"Itu adalah asasnya. Kami sentiasa mengusahakannya dan lambat-laun, konsep ini akan melekat dalam minda mereka.

"Saya sentiasa mengingatkan mereka tetapi masih banyak yang melakukannya, menggerakkan bola dengan perlahan, malah berada di posisi yang salah.

"Kami menjalani latihan semalam dan bola yang digerakkan dua kali lebih pantas berbanding malam ini.

"Ini amat bertentangan dengan apa yang sepatutnya berlaku.

"Akhir-akhir ini, kami melakukan perkara yang bertentangan dengan latihan kami.

"Apabila bola perlahan, anda kehilangan posisi, anda membenarkan lawan lebih rapat dengan anda, bertindak agresif dan mencuri bola.

"Saya tidak fikir tekanan yang diberikan Lyon sekuat itu.

"Cuma kami bergerak terlalu perlahan, tanpa tempo yang pelbagai.

"Dan apabila anda melakukan seperti itu, anda tidak dapat mencipta apa-apa," katanya.