Muka baru Bayern Munich, Leroy Sane, memberi bayangan bahawa perpindahan Kai Havertz daripada Bayer Leverkusen ke Chelsea sudah mencapai kata sepakat.

Pemain berusia 21 tahun itu dijangka meninggalkan kelab Bundesliga berkenaan musim depan selepas melalui kempen yang memberangsangkan.

Chelsea dilaporkan menjadi destinasi utama untuk menyambar tonggak antarabangsa Jerman itu selepas pasukan kendalian Frank Lampard tersebut dirangsang dengan kehadiran Timo Werner dan Hakim Ziyech menjelang saingan musim depan.

Sane, yang tiba di Bayern daripada Manchester City, memberi isyarat perjanjian itu sudah dimeterai ketika dia ditemu bual mengenai hala tuju dua rakan sepasukannya di kem kebangsaan tersebut.

"Saya fikir Jerman selalu melahirkan pemain muda yang sangat bagus, tiada kesangsian mengenai hal itu. Saya tidak pasti mengapa (kelab-kelab) berminat memburu khidmat pemain muda seperti kami ketika ini," katanya dalam sidang akhbar.

"Saya rasa Bundesliga sering menarik perhatian, anda boleh lihat ramai pemain muda diberi kesempatan dan berkembang dengan baik dalam Bundesliga. Tidak kira di kelab mana-mana sekalipun.

"Chelsea melakukan tugas dengan baik apabila mendapatkan khidmat Timo Werner dan Kai Havertz -- dua pemain serentak dalam tempoh setahun. Tiada keraguan lagi bahawa Jerman mempunyai program pemuda yang sangat baik.

"Saya rasa seluruh dunia bola sepak tahu mengenai hal itu dan tentunya menarik juga buat pasukan lain di dunia untuk mendapatkan pemain seperti itu."

Sane acap dikaitkan dengan perpindahan ke Bayern sebelum perjanjian itu disahkan awal bulan ini.

Pemain berusia 24 tahun itu ingin menjuarai Liga Juara-Juara (UCL) bersama gergasi Bundesliga berkenaan sambil memuji sentuhan Hansi Flick di pucuk pengurusan.

"Umumnya sukar untuk menjawab pertanyaan mengenai pasukan manakah yang akan memenangi UCL. Sudah tentu, Bayern Munich telah meraihnya beberapa kali," katanya.



"Saya mencari sesuatu yang baru, dorongan segar dan bagi saya jelas, jika saya mahukan perubahan maka ia harus menjurus kepada kelab yang mampu memenangi UCL sementara Bayern Munich memenuhi (kriteria) ini 100 peratus.

"Ini adalah satu persoalan yang menarik sama ada kami mampu memenangi UCL dalam tempoh beberapa tahun lagi. Ia bukan mudah, tetapi Bayern Munich merupakan sebuah kelab yang pasti mampu bersaing dalam UCL.

"Seperti yang anda lihat musim lalu, pasukan ini berada di tahap teratas dan saya rasa Hansi telah memberikan kesannya kepada pasukan.

"Anda dapat lihat ketika di padang, semua orang seronok dengan Hansi. Oleh itu, ini adalah langkah yang tepat buat saya."