Andrea Pirlo mendakwa Cristiano Ronaldo gembira digantikan dengan baki 20 minit dalam kemenangan Juventus 3-2 ke atas juara Serie A Inter dalam Derby d'Italia semalam.

Bintang Portugal -- yang menyumbat gol pembukaan selepas penalti diselamatkan -- digantikan oleh Alvaro Morata dengan Bianconeri mendahului 2-1 setelah Juan Cuadrado mengembalikan kedudukan tuan rumah setelah Romelu Lukaku menyamakan kedudukan.

Rodrigo Bentancur diarah keluar padang dalam separuh masa akedua kerana dilayangkan dua kad kuning dan tekanan Inter yang kuat akhirnya memaksa pasukan dibolosi jaringan sendiri Giorgio Chiellini.

Bagaimanapun, Cuadrado bertindak cemerlang pada penghujung permainan selepas memperoleh sepakan penalti apabila dijatuhkan Ivan Perisic dalam kawasan penalti.



Keputusan perlawanan menyaksikan mereka berjaya melonjak ke tangga keempat liga, namun masih mampu dilintasi Napoli jika meraih kemenangan ke atas Fiorentina.

Ini merupakan kali ketiga Ronaldo digantikan musim ini, tetapi Pirlo mengambil keputusan itu dengan baik sekali.


"Saya berasakan ia merupakan kali pertama dia gembira kerana digantikan," katanya kepada Sky Sport Italia. "Kami kekurangan seorang pemain, dan dia mengetahui sedang berdepan kesukaran, dia gembira dan tersenyum dalam bilik persalinan."