Pengurus Borussia Dortmund, Lucien Favre, masih belum pasti waktu untuk Marco Reus kembali daripada kecederaan otot.

Reus terpaksa dibawa keluar ketika tewas di tangan Werder Bremen dalam saingan DFB-Pokal, 2 Februari lalu sambil kelab Bundesliga itu mendedahkan dia tidak akan turun berlatih selama empat minggu.

Semalam, Favre mengesahkan Reus tidak akan mengikut kunjungan ke Borussia Monchengladbach esok tatkala dia menjalani latihan secara tertutup.

Kecergasan Reus merupakan perkara utama yang dipertimbangkan menjelang aksi kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara menentang Paris Saint-Germain (PSG), Rabu depan.

Mereka turun tanpa kapten, Reus, dalam pertemuan pertama di Signal Iduna Park, di mana Erling Haaland meledakkan dua gol untuk memastikan kemenangan 2-1 ke atas juara Ligue 1 itu.

Tatkala Reus masih diketepikan, Favre mungkin memerlukan Mario Gotze bagi menghadapi jadual padat.

Gotze hanya tampil 13 kali dalam saingan liga musim ini dan kontraknya bakal tamat hujung musim ini.

Ditanya jika pemenang Piala Dunia 2014 itu akan lebih banyak membantu pasukan, Favre menjawab: "Kami perlu lihat. Namun, ia boleh dilakukan kerana bakal menghadapi aksi esok, Rabu depan serta Sabtu depan.

"Ia akan menjadi sangat pantas dan semua orang perlu bersedia. Kami akan melihatnya esok. Dia masih terus mengikuti latihan dan beraksi dengan baik.

"Masih ada 10 perlawanan dalam saingan liga, jadi semua perkara boleh berlaku. Dalam bola sepak, semua perkara sangat pantas."