Ante Rebic melengkapkan perpindahan tetapnya ke AC Milan daripada Eintracht Frankfurt dengan menandatangani kesepakatan selama lima tahun.

Pemain kebangsaan Croatia itu dipinjamkan ke skuad Rossoneri itu musim lalu dan menjaringkan 12 gol daripada 30 penampilan untuk menjadi penjaring gol terbanyak pasukan itu.

Tanpa mengira jaringan sepakan penalti, hanya bintang Juventus, Cristiano Ronaldo (12), dapat menjaringkan gol lebih banyak daripada Rebic (11) dalam saingan Serie A musim lalu.

Dengan Andre Silva berpindah ke Frankfurt secara tetap dengan perpindahan dilaporkan bernilai €9 juta (RM44.2 juta), Milan dikatakan menandatangani Rebic tanpa sebarang yuran perpindahan.

Pemain berusia 26 tahun itu melakukan 100 penampilan kompetitif buat Eintracht, menjaringkan 25 gol dan melakukan 12 bantuan jaringan sebelum menyertai Milan secara pinjaman selama dua tahun pada September lalu.

Pengarah kesukanan, Fredi Bobic, berkata dalam laman web rasmi pasukan itu: "Penyokong kami akan sentiasa mengingati Ante, bukan hanya kerana persembahan hebatnya dalam final DFB-Pokal 2018 (ketika dia dipilih pemain terbaik perlawanan ketika mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas Bayern Munich).

"Kami mendoakan yang terbaik buat masa depan Ante. Dia akan sentiasa dialu-alukan di Frankfurt."