Bekas pemain kebangsaan, Razip Ismail, menganggap kepulangan semula ke Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai peluang terbaik untuk meneruskan misi memperkasakan program pembangunan yang ditinggalkannya lima tahun lalu.

Razip kembali ke pangkuan FAM selepas dilantik sebagai ketua unit belia badan induk itu bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Datuk Ong Kim Swee.

Sememangnya, tanggungjawabnya kali ini berbeza berbanding lima tahun lalu iaitu sebagai jurulatih Harimau Muda B dari 2013 hingga 2015.

Namun, bekas pemain Kuala Lumpur itu tetap teruja dalam usaha memastikan pembangunan bola sepak di negara ini terus berkembang maju.

"Kalau ikut perjalanan karier sebagai jurulatih, saya memang bermula di peringkat akar umbi, pasukan B-21 dan 23.

"Dengan pengalaman yang ada dan program yang dijalankan FAM ini, kalau boleh saya bantu menjadikannya lebih baik lagi.

"Apa-apa pun program pembangunan perlu dijalankan secara berterusan," katanya ketika diwawancara wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, hari ini.


Ranking Harimau Malaya | 10 Disember 2020 Kemas kini terbaharu ranking FIFA hari ini, Malaysia di tangga 153 dunia,...

Posted by Football Association of Malaysia on Thursday, December 10, 2020



Pelantikan Razip itu seiring dengan pelantikan Yusri Che Lah yang akan menerajui skuad Projek FAM-MSN dalam Liga Perdana 2021.

Seorang lagi bekas tonggak kebangsaan merangkap pengarah teknikal Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Lim Kim Choon, mengisi jawatan ketua unit pendidikan kejurulatihan sementara Cameron Leon Ng mengetuai unit akar umbi.