Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) menyediakan pinjaman untuk jurulatih tempatan mengambil lesen kejurulatihan Pro AFC, demikian didedahkan presiden persatuan itu, B. Sathianathan.

Tiga jurulatih pasukan kebangsaan berkemungkinan terpaksa melupakan hasrat mereka untuk mengapalai barisan kejurulatihan masing-masing kerana tidak memilik lesen kejurulatihan Pro AFC.

Sathianathan, bagaimanapun, bersetuju dengan pendekatan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam meletakkan syarat wajib itu bagi memastikan industri bola sepak negara tidak ketinggalan berbanding negara Asia lain.

Dalam satu perbualan video bersama wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, bekas ketua jurulatih Selangor itu berkata: "Saya bersetuju kerana kita tidak boleh ketinggalan. Apabila kita sudah ke depan, kita tidak boleh melangkah ke belakang.

"Saya melihatnya sebagai satu langkah yang positif buat bidang kejurulatihan.

"Dalam era serba moden ini, pemain akan lebih yakin sekiranya pengetahuan kita tentang latihan bagus.

"Jika kita tidak mempunyai pengetahuan tentang taktik atau latihan bola sepak moden, kita akan diketawakan oleh pemain," katanya.

Masalah utama yang mengakibatkan jurulatih tempatan sukar mendapatkan lesen kejurulatihan Pro AFC adalah disebabkan kos kewangan yang dikatakan mencecah sehingga RM66,000.

Jelas Sathianathan, PJBM ada menyediakan skim pinjaman untuk jurulatih yang kekurangan dana untuk melengkapkan proses pelesenan mereka.

"Mereka boleh memohon pinjaman daripada kami. Saya pernah meluluskan pinjaman buat dua jurulatih di Selangor.

"Itu bantuan yang kami boleh berikan tetapi mereka perlu bayar balik.

"Kita perlu lihat ke depan kerana pada masa akan datang, saingan Piala Presiden juga mungkin memerlukan lesen kejurulatihan profesional.

"Jadi, kita perlu sentiasa berjimat dan melihat ke depan, simpan duit untuk membuat lesen profesional," katanya lagi.