Andrea Pirlo tidak khuatir dengan pertemuan di antara bekas pengurus, Massimiliano Allegri dan Presiden Juventus, Andrea Agnelli, apabila menegaskan dia tetap mempunyai sokongan daripada juara Serie A itu.

Laporan minggu ini mendedahkan Allegri, yang memenangi lima Scudetto dalam lima musim kendaliannya di Turin, telah bertemu dengan ketua Bianconeri itu.

Lantas, ia meningkatkan tekanan terhadap Pirlo yang dianggap gagal dalam sentuhan pertama sebagai pengurus.

Juve di kedudukan keempat apabila berdepan Napoli -- yang berada di kedudukan kelima dengan jumlah mata yang sama -- awal pagi esok.

Selepas meraih sembilan gelaran Serie A berturut-turut, lebih parah lagi Juve berisiko kehilangan kelayakan ke Liga Juara-Juara (UCL) musim depan.

Tetapi Pirlo berasakan dia masih menerima sokongan Agnelli yang memberitahunya mengenai pertemuannya dengan Allegri itu -- yang tidak memikul sebarang tugasan pekerjaan sejak mnengundur diri pada 2019.

"Ia tidak akan berlaku," katanya.

"Saya sendiri yang diberitahu oleh presiden mengenai pertemuan dengan Allegri itu.

"Bola sepak dan persahabatan adalah satu perkara yang berlainan. Saya berhubung dengan Agnelli setiap hari, kami sering membincangkan segala hal.

"Saya tahu mengenai pertemuan itu dan saya tahu saya mempunyai keyakinannya, maka jelas terpulang kepada saya sendiri untuk membuktikan bahawa saya juga mampu bertindak sebagai pengurus lagi pada musim depan."



Pirlo berdepan tugas getir menentang Partenopei yang akan tiba di Turin dengan reputasi empat kemenangan Serie A berturut-turut.

Napoli telah merakamkan dua kemenangan terakhir ke atas Juve yang kehilangan Merih Demiral, Leonardo Bonucci dan Federico Bernardeschi berikutan COVID-19, tetapi bekas bintang tengah Itali itu menegaskan dia tidak mempunyai masalah perlawanan itu diteruskan.

Perlawanan itu pada asalnya dijadualkan berlangsung pada Oktober lalu tetapi tidak berjalan seperti yang dijadualkan selepas Napoli enggan berkunjung ke Turin atas cadangan pihak berkuasa kesihatan tempatan.

"Kami menghormati protokol.

"Kami akan melakukan apa yang selalu kami lakukan, kami akan turun dan beraksi."