Andrea Pirlo mengakui bahawa dia sudah berasa muak dengan kegagalan Juventus mempamerkan imaginasi dan keinginan untuk mengatasi taktik pasukan lawan.

Keputusan seri 2-2 dalam perlawanan 'derby' menentang pasukan di kelompok bawahan, Torino, awal pagi tadi selepas turut tewas 0-1 kepada Benevento sebelum waktu rehat antarabangsa lalu, menyaksikan pemburuan Scudetto ke-10 berturut-turut mereka musim ini kelihatan semakin jauh.

Musim pertama Pirlo selaku ketua jurulatih jelas menyaksikan kemerosotan berdasarkan kualiti pasukan itu tetapi Juventus berkata mereka akan memberikan sokongan penuh buat perancangan pengendali itu bagi membawa pasukan berkenaan ke depan.

Ia bermakna Pirlo hampir pasti akan meneruskan musim keduanya tetapi dia dan pemimpin kelab itu menjangkakan lebih banyak peningkatan dalam musim 2021-22 dan jurulatih itu memberitahu pemainnya bahawa tahap permainan mereka masih belum cukup bagus.

"Kami bermain dalam banyak perlawanan, jadi adalah normal untuk berasa keletihan untuk memenuhinya tetapi kami tidak boleh membenarkannya daripada berlaku," kata Pirlo.

Cristiano Ronaldo menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-79 selepas jaringan berganda Antonio Sanabria memastikan Torino memadamkan gol pembukaan Federico Chiesa. Rodrigo Bentancur kemudian melakukan percubaan yang terkena tiang tetapi Juve gagal menemui gol ketiga mereka.

"Selepas menyamakan kedudukan, kami kembali menguasai permainan dan menggegarkan palang, jadi kami memberikan respons yang amat baik.

"Tetapi apabila kami berdepan pasukan yang berkampung di tempat sendiri dan bertahan dengan gigih, amat sukar untuk bermain di bahagian tengah -- kami perlu megalihkan pergerakan ke bahagian sayap.

"Kami perlu bersabar, terus menggerakkan bola dan menyerang melalui bahagian tepi.

"Sudah pasti saya tidak gembira apabila kami tidak menang dan keciciran mata. Kami perlu bekerja keras dan memanfaatkan setiap ruang dengan lebih baik dan mencari lebih banyak pilihan di antara dua bahagian," katanya.