Andrea Pirlo tiada sebarang masalah apabila melihat Cristiano Ronaldo membuang jersi Juventus yang dipakainya ke tanah selepas gagal menemui jaringan ketika pasukan itu menewaskan Genoa dalam Serie A malam tadi.

Dejan Kulusevski, Alvaro Morata dan Weston McKennie menemui sasaran untuk Juve semakin hampir mengesahkan tempat ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan susulan kemenangan 3-1 di Stadium Allianz.

Ronaldo telah menjaringkan 32 gol buat BIanconeri musim ini tetapi dia kelihatan amat kecewa apabila gagal meneruskan rekod itu di Turin malam tadi.

Kapten Portugal itu melakukan percubaan yang terkena tiang dalam babak pertama sebelum gerakan susulan Morata memastikan Juve mendapatkan gol kedua dan Ronaldo hanya melakukan dua percubaan tepat daripada keseluruhan enam yang dihasilkannya.

Ronaldo menanggalkan jersi yang dipakainya dan mencampakkannya ke lantai selepas wisel penamat dibunyikan dan ketua jurulatih Juve, Pirlo, tiada sebarang masalah mengenai reaksi pemain itu.

Pirlo berkata: "Dia amat mahukan untuk menjaringkan gol. Dia merupakan salah seorang juara yang sentiasa mahu meninggalkan kesannya tetapi ini adalah perkara normal yang berlaku."

Juve berada dalam tekanan selepas menguasai babak pertama dan berisiko kehilangan kelebihan mereka sebaik Gianluca Scamacca merapatkan kedudukan pada awal babak kedua.

Pirlo menyedari masalah pasukannya, di mana mereka membenarkan Genoa untuk kembali dalam perlawanan itu.

Dia menambah: "Kesemuanya seperti kelihatan mudah, pada penghujung babak pertama, kami hampir dihukum satu peluang lawan gara-gara kekurangan perhatian.

"Ia berlaku dalam perlawanan terdahulu juga, ia boleh memberikan kami padah yang besar.

"Kami turun ke padang untuk mempamerkan permainan kami tetapi kami terlalu santai," tambahnya.