Andrea Pirlo sedia menjalankan eksperimen menggunakan rangkaian tiga penyerang melibatkan Cristiano Ronaldo, Paulo Dybala dan Alvaro Morata walaupun pasukannya sedang dilanda krisis kecederaan di bahagian pertahanan.

Tiga pemain itu belum pernah bergandingan dalam kesebelasan utama disebabkan masalah kecederaan dan kesihatan.

Ronaldo, yang merupakan penjaring terbanyak Juve musim ini dengan lapan gol daripada enam penampilan, terlepas empat perlawanan Serie A dan satu dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) selepas disahkan positif koronavirus bulan lalu.

Dybala pula bergelut dengan kecederaan dan masalah kesihatan dan hanya benar-benar cergas sejak minggu lalu manakala Morata, yang menjaringkan enam gol daripada sembilan penampilan, memerlukan masa untuk menyesuaikan diri sejak tiba daripada Atletico Madrid pada September lalu.

Pirlo berasakan ketiga-tiga pemain itu sudah bersedia untuk bergandingan ketika menentang Frencvaros awal pagi esok, di mana Juve menyasarkan untuk layak ke pusingan 16, namun tetap gusar seandainya ia akan membuatkan komposisi pemain dalam pasukannya menjadi tidak seimbang.

"Kami sudah memikirkannya sejak dari awal. Malangnya, kami tidak dapat memiliki mereka dalam keadaan terbaik serentak," katanya kepada wartawan.

"Dybala cedera, Morata pada awalnya tidak berada di prestasi terbaik, Ronaldo dijangkiti COVID... Mereka sudah berlatih bersama beberapa hari ini. Kini, kami akan mencuba untuk mengimbangi pasukan ini dan kemudian melihat penyelesaian untuk membenarkan mereka beraksi bersama, jika sesuai."


Pirlo turut mengulas mengenai Dybala, yang tidak menyertai skuad Argentina dalam pusingan kelayakan Piala Dunia bulan ini berikutan masalah kesihatan, dengan berkata: "Dia semakin baik, dia sudah bersedia. Dia berlatih secara berterusan pada waktu rehat antarabangsa melainkan pada beberapa hari awal ketika dia mengambil antibiotik.

"Pergerakannya semakin baik. Dia kembali mempunyai kekuatan di kakinya dan kita akan lihat sama ada dia dapat bermain dari awal permainan atau tidak."

Berbeza dengan jentera serangan, bahagian pertahanan Juve pula sedang berada di tahap kritikal dan memburukkan lagi keadaan itu adalah berita mengenai Merih Demiral yang terpaksa direhatkan sekitar 10 hari berikutan masalah otot.

Dengan Leonardo Bonucci dan Giorgio Chiellini masih belum dapat diturunkan, Pirlo terpaksa mencari penyelesaian berbeza di bahagian pertahanannya untuk berdepan Ferencvaros.

"Masih ada empat pemain pertahanan dan mereka akan bermain. Danilo akan bermain sebagai pertahanan tengah, Alex Sandro pula sebagai pertahanan sayap.

"Kita akan lihat mengenai pemain lain. (Dejan) Kulusevski sudah beraksi dalam banyak perlawanan tetapi (Federico) Chiesa, saya tidak fikir dia seudah bersedia untuk beraksi dari awal permainan.

"Ayuh lihat bagaimana keradaan mereka esok," tambahnya.