Andrea Pirlo mengakui pemainnya di Juventus sedang kepenatan daripada segi mental tetapi menggesa mereka untuk memastikan kelayakan ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan walau apa jua berlaku.

Dua gol lewat permainan daripada Cristiano Ronaldo memastikan Juve bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menewaskan Udinese 2-1 awal pagi tadi, sekali gus melonjak ke tangga ketiga Serie A.

Skuad Bianconeri itu kini terikat 69 mata dengan Atalanta di tempat kedua dan AC Milan di tangga keempat, dan dua mata di atas pasukan di tangga kelima, Napoli, berbaki empat perlawanan musim ini.

Prestasi Juve ketika menentang Udinese kelihatan kurang keamatan tetapi kemenangan itu sekurang-kurangnya mengurangkan tekanan buat Pirlo sebagai ketua jurulatih, sambil menjelaskan mengenai kesukaran yang dihadapi pasukannya sepanjang musim ini.

Pirlo berkata kepada Sky Italia: "Apabila anda tidak biasa untuk berjuang bagi melayakkan diri ke UCL tetapi anda sudah terbiasa memenangi Scudetto, sesuatu telah berubah dalam fikiran setiap orang.

"Terdapat pelbagai faktor. Kepenatan, kelesuan mental. Tetapi sasarannya sudah berubah sepanjang beberapa minggu ini dan kami perlu layak ke UCL walau apa jua yang berlaku.

"Ia akan menjadi memenatkan tetapi kami perlu layak. Pasukan ini tahu apa yang ia perlukan, ia perpaduan untuk mencapai sasaran ke UCL. Itulah perkara paling penting," katanya.