Pique pertahan tindakan Sarabia

By Nafis Abdullah 8 March 2020 153
Pique pertahan tindakan Sarabia
Gerard Pique mempertahan pembantu jurulatih Barcelona, Eder Sarabia, selepas perang mulut melibatkannya dalam aksi El Clasico dan menegaskan pemain menerima pendekatan itu.

Barca kembali ke landasan kemenangan selepas menewaskan Real Sociedad 1-0, enam hari selepas tunduk di tangan Real Madrid di Santiago Bernabeu.

Menjelang aksi awal pagi tadi, pengurus Barca, Quique Setien, menyifatkan kemarahan yang ditunjukkan Sarabia terhadap pemain ketika Clasico agak memalukan dan meminta pembantunya itu mengawal perasaan.

Setien turut meminta maaf kepada skuad tetapi Pique menegaskan ia tidak perlu selepas beraksi penuh di Camp Nou.

"Pembantu jurulatih begitu bersemangat dan ia dapat dilihat sewaktu di Bernabey tetapi kami melihatnya sesuatu yang normal," katanya.

"Semua pemain berbincang mengenainya di dalam bilik persalinan. Pengurus meminta maaf dan kami memberitahunya ia tiada berkaitan dengan kami tetapi melibatkan imej kelab.

"Apabila kelab lemah, perkara sebegini tiba. Beberapa minggu lalu, perbincangan lebih kepada pemain tidak memiliki hala tuju kerana perubahan pengurus dan ia berbeza. 

"Ia perkara sama. Satu lagi kisah berlaku selepas kekalahan dan anda perlu tampil dan menafikannya. Tindakan Sarabia sesuatu yang normal."

Pique juga gembira dapat mencatat kemenangan ke atas Sociedad tatkala lawan menang enam perlawanan berturut-turut sebelum pertemuan awal pagi tadi.

"Kami tahu ia sukar kerana kami baru ditimpa kekalahan di Bernabey dan mereka melalui musim yang hebat termasuk mara ke final Piala Raja Sepanyol," tambah Pique.

"Ia tidak akan mudah. Mereka menampilkan bola sepak yang bagus. Kami cuba dan perlawanan dibezakan dengan faktor kecil.

"Sepakan penalti memberikan kami tiga mata penting untuk membolehkan kami terus merebut kejuaraan liga."

About Author

Nafis Abdullah

Comment