Pendahulu Kumpulan B, Terengganu FC (TFC) III, menewaskan pencabar terdekat, PKNP FC, 1-0 di Gong Badak, petang tadi, dalam aksi tegang dengan layangan dua kad merah dan tujuh kad kuning.

Awal permainan menyaksikan tuan rumah menguji kubu pelawat menerusi sepakan Mohammad Rahmat Makasuf pada minit kesembilan, namun mudah dibaca penjaga gol, Shafiq Afifi Suhaimi.

Kawalan ketat PKNP kemudian hanya membenarkan penyerang TFC III, Muhammad Izzan Syahmi Mustapa, membuat rembatan dari jarak jauh pada minit ke-18 tetapi tersasar.

Sang Penyu memperoleh jaringan tunggal pada minit ke-26 apabila Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob tenang membuat tindakan susulan walaupun sepakan penaltinya terlebih dahulu ditepis Shafiq Afifi.

Tujuh minit kemudian, TFC hampir menggandakan kedudukan selepas serangan balas yang dimulakan Izzan Syahmi yang membuat umpanan dari sebelah kanan, gagal disudahkan Wan Mohamad Fazli Wan Ghazali.

PKNP memperkemaskan rentak dan peluang terbaik menyamakan kedudukan hadir pada minit ke-43, malangnya percubaan leret Nohfitri Ahmad tersasar ke sebelah tepi.

TFC kekurangan seorang pemain apabila Izzan Syahmi dilayangkan kad kuning kedua pada masa kecederaan babak pertama kerana kekasaran ke atas kapten PKNP, Muhammad Aizat Maidin Koty.

Kelebihan itu tidak dimanfaatkan pelawat yang dikecewakan ketumpulan bahagian serangannya yang diketuai oleh Muhamad Alif Rieza, sebaliknya tuan rumah terus gagah bertahan.

Aksi panas tercetus pada minit ke-76, menyebabkan perlawanan terhenti dengan TFC menamatkan permainan dengan sembilan pemain apabila Engku Muhammad Nur Shakir diarah keluar padang.

Kedudukan 1-0 kekal sehingga wisel penamat yang membolehkan TFC III mengukuhkan teraju liga melalui 33 mata daripada 14 perlawanan manakala PKNP kedua dengan mengumpul 28 mata sambil memegang kelebihan satu perlawanan.