Selepas membelasah ATM 6-0 di gelanggang sendiri, Kelantan terus membuktikan kehebatan apabila menumpaskan Selangor United FC 2-1 dalam saingan Kumpulan A, Piala Presiden di Stadium Mini, Sungai Besar, Sabak Bernam, petang tadi.

Turun dengan misi mencari kemenangan ketiga berturut-turut, The President Warriors (TPW) bagaimanapun dikejutkan jaringan awal penyerang tuan rumah, Mohd Arash Hakimi Muhamad Ramlee, pada minit ketujuh.

Tiga minit kemudian, penyerang TPW, Muhammad Imran Samso, menjaringkan gol penyamaan untuk mengikat Selangor United 1-1 sehingga wisel separuh masa pertama dibunyikan.

Pemain tengah, Muhammad Danial Ashraf Abdullah, menjadi wira TPW apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-90, sekali gus membolehkan Kelantan balik dengan tiga mata penuh.

Ketua jurulatih TPW, Zahasmi Ismail, jelas gembira dengan prestasi yang ditunjukkan anak buahnya sambil menyifatkan keinginan untuk mencari kemenangan ketiga berturut-turut dan mengekalkan rekod tanpa kalah di gelanggang lawan sebagai sasaran utama Kelantan.

"Beraksi dalam cuaca panas cukup mencabar. Biarpun dikejutkan dengan gol awal tuan rumah, pemain tidak mudah panik dan berjaya mencari gol penyamaan.

"Alhamdulillah, rezeki berpihak kepada kami apabila Danial Ashraf berjaya menyempurnakan peluang untuk kemenangan Kelantan di minit akhir permainan.

“Selepas ini, satu lagi aksi sukar menentang pendahulu liga, Sabah, di gelanggang lawan,” katanya.

Kemenangan tipis ke atas Selangor United FC ini membolehkan TPW berada di tangga keempat Kumpulan A dengan 15 mata hasil daripada empat menang dan tiga keputusan seri.