Ketumpulan jentera serangan memadamkan hajat Kelantan untuk merekodkan kemenangan kedua berturut-turut apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan pendatang baru, Kelantan United FC (KUFC), dalam saingan Kumpulan A Piala Presiden.

Pengendali The President Warriors (TRW), Kamaruddin Mohammad, berkata biarpun pemainnya menguasai sebahagian besar permainan, jentera serangan Kelantan buntu untuk menembusi gawang tuan rumah yang dikawal Muhamad Nor Amin Mat Gani.

"Biarpun sedikit kecewa dengan keputusan akhir namun saya bangga dengan semangat pemain yang terus mencuba sehingga minit akhir permainan.

"Kami menguasai permainan (terutama dalam babak pertama) cuma dihampakan dengan kegagalan jentera serangan menjaringkan gol sahaja.

"Saya berpuas hati dengan komitmen yang telah ditunjukkan oleh semua pemain dan keputusan seri ini adil buat kedua-dua pasukan," katanya.



Kamaruddin juga berjanji akan memberi tumpuan khusus kepada jentera serangan TPW menjelang pertemuan getir menentang pasukan pilihan, Kedah, petang esok.

"Saya jangka pertemuan dengan Kedah kelak cukup menarik dan kami patut menggunakan kelebihan di gelanggang sendiri untuk mengutip tiga mata penuh," ujarnya.

Untuk rekod, keputusan seri ini meletakkan TPW memungut empat mata hasil satu kemenangan dan sekali seri.