Peluang Kelantan untuk mara ke separuh akhir Piala Cabaran semakin menyala selepas mengejutkan Sarawak 3-0 dalam aksi Kumpulan A di Stadium Sarawak, Kuching malam tadi.

Dua jaringan daripada bekas penyerang Pahang dan Melaka United, Muhammad Fauzi Rozlan atau Kojie pada minit ke-34 dan 89, serta tambahan gol daripada pemain sayap, Mohamad Khairul Rizam Che Soh (m-46), sudah cukup untuk merawat derita The Red Warriors (TRW) yang tewas tipis 0-1 kepada Johor Darul Ta'zim II (JDT II) di Kota Bharu minggu lalu.

Pengurus TRW, Datuk Azman Ismail, memuji kemampuan pemain tempatan yang memberikan aksi terbaik untuk membawa pulang mata penuh dari tempat lawan.

"Alhamdulillah, semangat juang pemain tempatan juga cukup hebat dan kemenangan ini memberikan lebih keyakinan kepada kami untuk mengulanginya dalam pusingan kedua di Kota Bharu, Selasa depan," katanya.

Azman juga memuji sumbangan penyerang veteran, Kojie, yang meledakkan dua jaringan di sebalik ketiadaan penyerang import, Seydi L'Imam, akibat kecederaan bahu.

"Biarpun lama direhatkan, Kojie membuktikan sentuhannya masih berbisa dengan dua jaringan cantik.

"Harap dia terus kekalkan prestasi untuk bantu TRW mara ke separuh akhir Piala Cabaran," katanya lagi.

Untuk rekod, kemenangan ke atas Sarawak menyaksikan Kelantan kekal di tangga kedua di belakang pendahulu Kumpulan A, JDT II, yang mengumpul enam mata.