Felda United mencipta kemenangan pertama dalam saingan Piala AFC selepas mengatasi kelab dari Filipina, Ceres Negros FC, yang juga pendahulu Kumpulan G, 3-0, di Stadium Shah Alam, hari ini.

Kegagalan membawa perlawanan itu ke Stadium Tun Razak di Jengka bukan halangan untuk skuad Felda mempamerkan semangat juang yang tinggi bagi memburu kemenangan pertama.

Seri tanpa jaringan dalam perlawanan di Filipina mahu segera ditebus anak buah B. Sathianathan.

Dan ia pantas menjadi kenyataan apabila Felda hanya memerlukan enam minit untuk berada di depan menerusi gol Muhamad Syahid Zaidon.

Sepakan derasnya dari luar kotak penalti gagal dihalang penjaga gol Ceres, Muller.

Bagaimanapun, perlawanan rancak yang berterusan sehingga minit ke-45 menyaksikan tiada gol tambahan dijelmakan.

Selepas rehat, Felda terus menggandakan asakan, dengan Muhamad Hadin Azman -- yang membuka ruang gol untuk Syahid -- berjaya meletakkan namanya selaku penjaring selepas memperdaya Muller buat kali kedua pada minit ke-65.

Ceres terus menderita apabila Felda menambah gol ketiga hasil jaringan Fazrul Hazli, hanya dua minit selepas dia dimasukkan menggantikan Muhamad Hadin.

"Kami mencipta peluang tetapi tidak mengambilnya sehingga kami menjaringkan gol pertama," kata Sathianathan.

"Ceres turut mencipta peluang dan kami mengekalkan permainan yang baik tetapi apa yang saya tidak suka, Ceres masih mencipta peluang pada 10 minit terakhir."

Dengan kemenangan ini, Felda naik ke tangga ketiga, berkongsi mata dengan Ceres dan Hanoi FC tetapi dibezakan dengan jumlah jaringan.

Sementara itu, pendahulu Kumpulan F, Johor Darul Ta'zim (JDT) akan turun menentang satu lagi kelab dari Filipina, Global FC, di Stadium Memorial Rizal di Manila, esok, jam 7.30 malam.