Neymar berkemungkinan besar tidak akan kembali Barcelona dari Paris Saint-Germain (PSG), menurut presiden kelab LaLiga itu, Josep Maria Bartomeu.

Penyerang kelahiran Brazil itu meninggalkan Nou Camp untuk menyertai PSG dengan yuran perpindahan bernilai EURO222 juta pada 2017, tetapi kini dikhabarkan bakal kembali ke Barcelona -- di mana dia meraih lapan gelaran dalam tempoh empat musim.

Bagaimanapun, Bartomeu berasakan perpindahan itu dijangka tidak akan dapat dimeterai selepas kelab itu sedang membuat peracangan bagi menangani impak daripada segi kewangan ekoran pandemik koronavirus.

"Kami tidak menjangka dapat memeterai perpindahan itu kerana situasi yang sukar terpaksa dihadapi oleh setiap kelab di Eropah," kata Bartomeu.

Namun Barcelona masih lagi dalam usaha untuk mendapatkan seorang lagi penyerang, Lautaro Martinez.

Rakan senegara Lionel Messi itu memiliki klausa perpindahan EURO111 juta dalam kontraknya, dan Barca dijangka tidak akan mengaktifkannya sebelum jendela perpindahan berakhir.

Martinez, 22, telah menjaringkan 17 kali dalam 37 penampilan untuk Inter musim ini dan memiliki kontrak sehingga tahun 2023.

"Saya tidak akan berbincang mengenai perpindahan pemain," kata Bartomeu.