Ilkay Gundogan menyifatkan perpindahan Pierre-Emerick Aubameyang ke Arsenal sebagai satu beban yang perlu ditanggung oleh Borussia Dortmund.

Gundogan dan Aubameyang merupakan rakan sepasukan di Signal Iduna Park sebelum pemain tengah Jerman itu menyertai Manchester City pada 2016 dan Aubameyang berhijrah ke Emirates menerusi rekod perpindahan Arsenal berjumlah GBP56 juta (RM305 juta) pada hari terakhir jendela perpindahan bulan lalu.

Penyerang berusia 28 tahun itu mencatat 13 jaringan daripada 16 penampilan dalam Bundesliga pada musim ini dan apabila Peter Bosz dipecat selaku pengurus pasukan, masa depan Aubameyang bersama Dortmund mula menjadi persoalan.

"Keadaan sekeliling jelas sekali tidak membantu prestasi Dortmund.

"Sebagai seorang pemain, anda boleh melihatnya dan jika anda melihat perkara negatif dalam akhbar setiap hari, ia adalah satu beban," kata Gundogan.

Aubameyang menyertai senarai pemain yang meningkat naik bersama Dortmund dan meninggalkan pasukan selepas itu, sama seperti apa yang dilakukan oleh Gundogan yang berhijrah ke Liga Perdana Inggeris (EPL) sebelum Kejohanan Eropah 2016 (EURO 2016).

"Saya tidak pasti sama ada saya mampu melakukan perkara sama seperti Aubameyang," tambahnya.