Perlawanan antarabangsa melibatkan kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 dan Piala Asia China 2023 ditunda ke tahun depan.

Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dalam satu kenyataan sebentar tadi, berkata ia sebagai langkah pencegahan COVID-19 yang menular di seluruh dunia.

"Berikutan penularan COVID-19, FIFA dan AFC sebulat suara memutuskan perlawanan kelayakan Piala Dunia FIFA Qatar 2022 dan Piala Asia AFC China 2023, yang pada awalnya bakal berlangsung ketika jadual antarabangsa pada Oktober dan November 2020, ditunda ke 2021.





"Langkah ini bertujuan untuk melindungi kesihatan dan keselamatan semua peserta, FIFA dan AFC akan terus bekerjasama untuk memantau keadaan di rantau ini dengan teliti dan mengenal pasti tarikh baru untuk perlawanan kelayakan masing-masing.

"Maklumat lebih lanjut mengenai tarikh baru untuk perlawanan kelayakan pusingan berikutnya Piala Dunia FIFA 2022 dan Piala Asia AFC 2023 akan diumumkan kelak," menurut laman sesawang the-AFC.com

Harimau Malaya sepatutnya mengharungi aksi timbal balik pusingan kedua, Kumpulan G dengan bertandang ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 8 Oktober sebelum menyambut Vietnam, lima hari kemudian disusuli aksi bertemu Thailand (17 November).