Pemain tengah Real Madrid, Toni Kroos, terpaksa menjalani pengasingan selepas menjadi kontak rapat kepada seseorang yang diuji positif koronavirus.

Kesemua ujian yang dilakukan ke atas Kroos setakat ini berakhir negatif tetapi dia kini sedang menjalani pengasingan di rumah berdasarkan protokol COVID-19.

Madrid akan menentang Athletic Bilbao dalam perlawanan kedua terakhir LaLiga hujung minggu ini.

Mereka kini sedang bersaing hebat dengan Atletico Madrid dan Barcelona bagi penentuan kejuaraan di mana seteru setempat mereka itu sedang mendahului dua mata dengan hanya berbaki dua perlawanan.

"Real Madrid memaklumkan bahawa pemain kami, Toni Kroos, kini berada dalam pengasingan selepas menjadi kontak rapat dengan seseorang yang disahkan positif COVID-19 walaupun kesemua ujian yang dijalankan ke atas pemain itu berakhir negatif," kata satu kenyataan yang dikeluarkan kelab berkenaan semalam.

Diharapkan Kroos tidak mengalami nasib sama seperti Federico Valverde bulan lalu.

Valverde pada awalnya diasingkan kerana menjadi kontak rapat sebelum didapati positif lima hari kemudian dan diketepikan ketika menentang Chelsea dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Kroos menjadi pemain penting buat Madrid musim ini di mana dia telah beraksi dalam 28 perlawanan liga.