Diego Simeone membandingkan Jan Oblak dengan bintang Barcelona, Lionel Messi, selepas aksi hebat penjaga gol itu membolehkan Atletico menyingkirkan Liverpool dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi.

Oblak menampilkan aksi pemain terbaik perlawanan apabila mencipta banyak aksi tangkas tatkala Atletico meraih kemenangan 3-2 dalam masa tambahan di Anfield.

Juara bertahan, Liverpool, jelas berada di prestasi terbaik dalam aksi kedua pusingan 16 tetapi aksi Oblak jelas membantu Atletico yang meraih jaringan menerusi dua gol Marcos Llorente dan satu gol lewat Alvaro Morata.

Menamakan penjaga gol itu sebagai salah seorang terbaik dunia, Simeone berkata: "Saya pernah katakannya sebelum ini.

"Ia seperti apabila Barca memiliki Messi. Dia menentukan hala tuju perlawanan dengan serangan dan Oblak menerusi aksi tangkas."

Llorente masuk selaku pemain gantian untuk menggantikan Diego Costa dan Simeone menambah: "Llorente mengubah seluruh pasukan.

"Saya sangat gembira buat pasukan. Ia aksi bersejarah menentang lawan yang hebat di stadium yang indah.

"Mereka memberi tekanan tetapi kami tetap dengan perancangan awal dan usaha semua pemain membolehkan kami berjaya.

"Ia memberikan saya kepuasan. Walaupun ia tampak ringkas tetapi tidak mudah untuk menang."