Neymar akan turun beraksi buat Paris Saint-Germain (PSG) dalam aksi pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Eropah (UCL), awal pagi esok, kata Thomas Tuchel.

Bintang Brazil itu diketepikan akibat kecederaan rusuk sejak 1 Februari lalu dan terlepas empat perlawanan dalam saingan domestik.

Semalam, dia disahkan berada dalam skuad PSG tatkala juara Ligue 1 itu bakal berdepan bekas majikan Tuchel untuk meragut peluang layak ke suku akhir Liga Juara-Juara.

Kylian Mbappe juga kembali bersama skuad selepas direhatkan ketika PSG diikat Amiens 4-4 tetapi tumpuan lebih terarah kepada kehadiran semula Neymar.

Tuchel berkata bekas tonggak Barcelona itu akan kembali kecuali jika terdapat sebarang isu pada saat akhir dalam sesi latihan.

"Neymar berada di sini, dia kini sihat," kata pengendali itu.

"Semalam dia turun berlatih dan akan beraksi awal pagi esok jika tiada apa berlaku ketika latihan.

"Jelas sekali kehadirannya semula mampu mengubah keadaan dan saya harap ia akan jadi positif.

"Jika kami memiliki Neymar di atas padang, dia mempunyai kemampuan untuk melakukan sesuatu yang penting. Ia mengubah segalanya, untuk rakan sepasukan serta Mbappe.

"Ia memberikan saya keyakinan, begitu juga kepada pasukan. Ia dapat dilihat dengan jelas."

Neymar mempamerkan prestasi hebat musim ini, menjaringkan 13 gol dan mencipta enam bantuan jaringan dalam 14 penampilan Ligue 1.

Pemain termahal dunia hanya beraksi dua kali dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini dan meledakkan satu gol.


Editor: Nafis Abdullah