Neymar mempersoalkan keputusan pihak pentadbiran bola sepak Perancis selepas digantung daripada menyertai perlawanan Paris Saint-Germain (PSG) menentang Monaco dalam final Coupe de France minggu depan.

Pemain kebangsaan Brazil itu dilayangkan kad kuning hanya selepas empat minit dimasukkan daripada bangku pemain simpanan ketika pasukannya terikat 2-2 dengan Montpellier dalam separuh akhir Rabu lalu, di mana PSG memenangi penentuan penalti 6-5.

Neymar, yang digantung dua perlawanan selepas dilayangkan kad merah ketika menentang Lille bulan lalu, menerima padah apabila digantung satu lagi perlawanan berikutan kesalahan berulangnya.

Pihak jawatankuasa disiplin liga itu telah mengesahkan Neymar tidak akan dapat beraksi dalam perlawanan akhir menentang Monaco di Stade de France.

Mengulas mengenai perkara itu dalam laman Instagramnya, Neymar berkata: "Saya mahu memahami sebab yang diberikan mereka yang menguruskan urusan layangan kad di Perancis!

"Mereka layak mendapatkan pujian, Ia benar-benar huru-hara."

Luahan Neymar itu mungkin akan merisikokannya untuk mendapat hukuman yang lebih berat daripada badan disiplin liga itu selepas turut mengkritik pengadil, Jeremie Pignard, selepas kemenangan ke atas Montpellier.

"Saya beraksi selama lima minit, melakukan kesalahan dan dia terus memberikan saya kad kuning tanpa berfikir panjang," tulis Neymar dalam media sosialnya awal minggu ini.

"Terima kasih kerana menggantung saya daripada aksi final. Saya fikir ia sesuatu yang bersifat peribadi."