Neymar mengesahkan masa depannya di Paris Saint-Germain (PSG) apabila memperbaharui kontraknya hingga 2025.

Penyerang Brazil itu berpindah ke jaguh Ligue 1 itu daripada Barcelona dalam perjanjian lima tahun dengan catatan rekod dunia sebanyak € 222 juta (RM1 bilion) pada Ogos 2017.

Neymar sering dikaitkan dengan kepulangan ke Barca tetapi malam tadi, pemain berusia 30 tahun itu menyatakan memberikan komitmen dengan PSG apabila mengumumkan perjanjian barunya.

L'Equipe melaporkan kontrak baru itu bakal menyaksikan bekas bintang Santos itu memperoleh gaji £26 juta (RM149.4j) setahun di ibu negara Perancis berkenaan.




Neymar berkata: "Saya sangat gembira, sangat gembira dapat melanjutkan kontrak saya dengan Paris hingga 2025.

Sejujurnya saya amat gembira untuk tinggal di sini selama empat tahun lagi, untuk menjadi sebahagian daripada projek kelab ini, untuk cuba dan memenangi gelaran, untuk mencuba dan mencapai impian terbesar kami iaitu Liga Juara-Juara (UCL)."

Dia tampak bersemangat untuk kembali ke Barcelona pada Julai 2019 tatkala masa depannya di Paris diselubungi keraguan serius, bahkan dalam beberapa minggu terakhir ini dia kembali dikaitkan dengan perpindahan ke Camp Nou.

Pemain itu, bagaimanapun, menonjolkan sisi kematangannya kerana pernah menyukarkan hidup bekas pengurus PSG pada masa lalu.

"Saya telah banyak berubah. Saya telah banyak belajar," katanya di laman sesawang rasmi kelab.

"Perkara telah berlaku dan tidak seharusnya terjadi. Kami bertengkar, timbul beberapa detik yang menyedihkan tetapi secara keseluruhannya, perkembangan saya sangat positif.

"Saya gembira, saya bangga menjadi sebahagian daripada sejarah Paris Saint-Germain. Saya rasa saya telah bertambah baik sebagai seorang, manusia dan juga pemain. Oleh itu, saya sangat gembira dapat melanjutkan kontrak, untuk menjadi sebahagian daripada sejarah Paris dan saya berharap dapat meletakkan lebih banyak piala di rak, khas buat Paris Saint-Germain.

"Tentu saja, tujuan saya ketika saya datang ke Paris Saint-Germain adalah untuk membantu meletakkan Paris Saint-Germain di puncak, muncul antara yang terbaik dan kami semakin dekat. Kami telah menimba lebih banyak pengalaman untuk membantu kami berdepan cabaran perlawanan, untuk mengetahui bagaimana beraksi dalam kempen UCL. Dan Paris berada di landasan yang betul, kami semakin dekat untuk menawan UCL. Saya yakin kami dapat melakukannya. "

Kekalahan kepada Manchester City dalam separuh akhir kempen Eropah musim ini meranapkan hasrat mereka.

Namun, ia tidak melenyapkan kepercayaan Neymar bahawa Mauricio Pochettino adalah individu tepat yang mampu menghadirkan kejayaan itu apabila menggambarkannya sebagai "pengurus hebat yang pastinya akan membantu kami meraih lebih banyak kejayaan lagi" sambil juga memuji rakan sepasukannya di Parc des Princes.

"Perkara-perkara ini membuatkan anda lebih yakin dengan projek ini," katanya.