Stadium Napoli kini secara rasminya diberikan nama baru bagi memperingati Diego Maradona, demikian diumumkan Majlis Perbandaran Naples.

Dunia sukan dikejutkan dengan kematian legenda bola sepak Argentina, Maradona -- yang diiktiraf sebagai salah seorang pemain bola sepak terhebat dalam sejarah -- pada usia 60 tahun disebabkan kegagalan jantung.

Pemenang Piala Dunia bersama Argentina itu menikmati kejayaan luar biasa di Naples di mana dia menjuarai Serie A bersama Napoli dalam musim 1986-87 dan mengulanginya dalam musim 1989-90.

Presiden Napoli, Aurelio De Laurentiis, berkata minggu lalu bahawa ia merupakan keputusan yang tepat untuk menamakan Stadio San Paolo bersempena nama legenda Argentina itu dan Majlis Perbandaran Naples kemudian bersetuju untuk meluluskan cadangan menggunakan nama Stadio Diego Armando Maradona.

Perubahan nama itu masih memerlukan kelulusan daripada Penguatkuasa Wilayah Naples tetapi ia dijangka tidak akan berdepan sebarang masalah.

"Dengan ketetapan yang telah diluluskan hari ini, stadium ini akan dinamakan bersempena nama Diego Armando Maradona," kata Majlis Perbandaran Naples dalam satu kenyataan.

"Tidak lama sebelum mesyuarat jawatankuasa eksekutif, suruhanjaya penasihat toponimi bandar ini telah bersetuju dengan cadangan datuk bandar, ahli majlis toponimi, Alessandra Clemente, dan majlis perbandaran, untuk menamakan Stadio San Paolo dengan nama Stadio Diego Armando Maradona. "

Maradona mengumpulkan 91 penampilan bersama Argentina di antara 1977 dan 1994 selain menjaringkan 34 gol di peringkat antarabangsa.