Ketua jurulatih RB Leipzig, Julian Nagelsmann, berkata tidak mustahil untuk pasukannya menterbalikkan defisit 0-2 ketika berdepan Liverpool dalam perlawanan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi tadi.

Leipzig tewas 0-2 dalam perlawanan 'tempat sendiri' di Budapest kepada juara England, Liverpool, yang akan melayani kunjungan kelab Jerman itu di Anfield dalam perlawanan kedua bulan depan.

Percubaan awal Angelino terkena palang buat Leipzig sebelum penjaga gol lawan, Alisson, terpaksa bekerja keras menyelamatkan percubaan Christopher Nkunku.

Liverpool kemudian memanfaat kesilapan berganda pertahanan Leipzig untuk meghasilkan dua gol pantas menerusi sentuhan Mohamed Salah dan Sadio Mane untuk memberikan skuad The Reds itu kelebihan menjelang perlawanan timbal balik berkenaan.

"Kami sedar akan keputusan ini tetapi kami bermain dengan amat baik," kata Nagelsmann.

"Kami akan meneruskannya dalam perlawanan kedua.

"Saya mahu katakannya sebelum ada yang bertanya, situasinya kini sudah pasti bukan mudah tetapi ia tidak mustahil.

"Kami akan melakukan segala-galanya untuk ke pusingan berikutnya," katanya.


Leipzig menghasilkan 12 percubaan berbanding 10 yang dilakukan lawan tetapi Liverpool memanfaatkan dua daripada tiga percubaan tepat untuk menghasilkan jaringan dan Nagelsmann berkata keupayaan menyudahkan peluang menjadi pemisah dalam perlawanan sengit itu.

"Kami memerlukan dua, tiga minit selepas melakukan dua kesilapan itu. Ia satu persoalan klasik untuk ditanyakan jika kesilapan ini akan diuhukum di peringkat seperti ini.

"Ia pasti akan dihukum dalam setiap peringkat. Kemudian kami memerlukan lima, enam minit untuk kembali. Ia baik apabila kami tidak dibolosi gol ketiga. Kemudian pemain saya kembali beraksi baik," tambahnya.