Joao Moutinho telah bersetuju dengan tawaran kontrak baru untuk mengekalkannya bersama AS Monaco sehingga 2020.

Kontrak sedia ada Moutinho bakal tamat pada hujung musim ini tetapi pemain berusia 31 tahun itu akhirnya bersetuju dengan tawaran baru selama dua tahun.

Pemain tengah Portugal itu membantu Monaco meraih kejuaraan liga pada musim lalu dan melakukan 24 penampilan buat skuad kendalian Leonardo Jardim itu pada musim ini, sekali gus membantu pasukan berada di tangga kedua Ligue 1 di belakang Paris Saint-Germain (PSG).

Moutinho telah berada di Monaco sejak 2013 selepas melengkapkan perpindahan daripada Porto.

"Saya sangat gembira untuk memperbaharui kontrak bersama Monaco," kata Moutinho kepada laman web rasmi pasukan.

"Tahun lalu menjadi sangat positif buat saya selepas memenangi Liga Perancis dan melalui kempen yang hebat dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.

"Saya berasa bagus di Monaco dan mahu terus menyumbangkan segala kudrat untuk membantu pasukan mencapai sasaran," katanya.

Monaco bakal melakukan perhitungan dengan PSG bagi aksi final Piala Liga Perancis esok.