Jose Mourinho memuji usaha Eric Dier ketika berdepan Chelsea, di sebalik pertahanan itu terpaksa meninggalkan padang kerana perlu ke tandas.

Spurs menang menerusi penentuan penalti 5-4 dalam aksi pusingan 16 Piala EFL, Mason Mount terlepas percubaan penting selepas Erik Lamela menyamakan kedudukan apabila Timo Werner membuka jaringan dalam separuh masa pertama.

Ketika separuh masa kedua, Dier menuju ke bilik persalinan untuk menggunakan tandas dan telah dikejar oleh Mourinho, pemain kebangsaan England itu kemudian berlari untuk kembali ke padang selepas itu.

Pemain berusia 26 tahun itu merupakan satu-satunya pemain yang kekal dalam kesebelasan utama selepas mereka seri 1-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan Newcastle United dua hari sebelum ini.

Mourinho tidak memiliki kata-kata selain pujian buat Dier, yang turut meledak gol dalam penentuan penalti.

"Apa yang berlaku kepada Eric Dier tidak normal," katanya kepada Sky Sports. "Saya perlu memujinya dengan cara yang istimewa.

"Pihak berkuasa dalam bolasepak, dengan peraturan yang terlalu banyak, perlu menghalang daripada beraksi dua perlawanan dalam tempoh 48 jam. Sebelum ini kami berdepan Newcastle dan perlawanan ini, terlalu banyak intensiti.

"Dier telah mempamerkan contoh terbaik buat pasukan dalam dua perlawanan ini. Namun pihak berkuasa dalam bola sepak tidak memikirkan tentang pemain. Sememangnya, dia tidak akan beraksi dalam perlawanan Khamis ini [berdepan Maccabi Haifa]."