BORUSSIA DORTMUND 3 AC MILAN 1

AC Milan kalah 3-1 kepada Borussia Dortmund dalam perlawanan pembukaan Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) tetapi Vincenzo Montella gembira dengan elemen yang diperagakan pasukannya.


Selepas memenangi perlawanan pra-musim 4-0 ke atas Lugano, Milan kalah di Guangzhou semalam apabila Dortmund meraih kemenangan menerusi rembatan Nuri Sahin dan dua jaringan Pierre-Emerick Aubameyang.

Pemain baru, Ricardo Rodriguez, Hakan Calhanoglu, Mateo Musacchio, Fabio Borini dan Franck Kessie semuanya diturunkan tetapi Milan gagal menunjukkan keserasian, menambahkan lagi kerja untuk ketua jurulatih itu sebelum musim baru Serie A.

Namun, Montella tidak kecewa dengan persembahan itu dan bercakap tentang kegembiraannya dengan cara pasukan terus berjuang dalam keadaan yang sukar di China.

"Kami tidak boleh melihat kepada keputusannya," kata bos Milan itu. "Saya melihat pasukan dengan aplikasi dan watak. Ada perkara yang perlu kami lakukan tetapi semangat sentiasa sama.

"Kami mengalami kesukaran tetapi kami bertindak balas dan pemain muda juga berjaya.

"Keseluruhannya, saya melihat pasukan sangat yakin dengan perkara yang mereka lakukan. Kami kehilangan beberapa pemain, jadi saya melihat potensi hebat untuk diperbaiki."

Seorang pemain baru Milan yang tidak beraksi adalah Leonardo Bonucci tetapi dia mungkin akan beraksi sebaik sahaja bertemu dengan rakan sepasukannya dan mungkin menghadapi Bayern Munich, Sabtu ini.

"Dia adalah salah seorang daripada kami sekarang," kata Montella mengenai bekas pemain Juventus itu.

"Ia merupakan pembelian hebat oleh kelab dan kami gembira kerana dia bersama kami.

"Esok dia akan tiba dan kami akan menilai keadaan fizikalnya dan memutuskan siapa yang bermain dan berapa minit."

Selepas aksi persahabatan dengan Bayern, Milan menghadapi skuad dari Romania, Craiova, dalam kelayakan Liga Europa, dan Montella berharap pasukannya mendapat kecergasaan yang cukup.

"Saya gembira dapat mencapai 70 peratus," katanya. "Saya harap mereka yang telah tiba akan bersiap sedia.

"Ia satu perlawanan asas bagi kami, keutamaan adalah untuk memasuki peringkat kumpulan Liga Europa."