MILAN 0 TORINO 0
(Milan mara dengan penentuan sepakan penalti 5-4)

Stefano Pioli gembira melihat Zlatan Ibrahimovic mendapat 45 minit permainan dalam kemenangan penentuan penalti Milan ke atas Torino.


Ibrahimovic, 39, yang kembali daripada kecederaan untuk dimasukkan sebagai pemain gantian ketika menentang pencabar yang sama dalam aksi Serie A hujung minggu lalu, tetapi kali ini memulakan perlawanan untuk membantu Milan mara ke suku akhir Coppa Italia menerusi kemenangan penentuan penalti 5-4.

Pengurus Milan itu jelas gembira melihat penyerang berkenaan, yang telah menjaringkan 10 gol dalam tujuh perlawanan Serie A musim ini, meraih lebih banyak minit permainan selepas berehat selama tujuh minggu.

"Kami ingin memberinya waktu yang lebih lama berbanding perlawanan sebelum ini. Kami lebih gemar untuk meletakkan dalam barisan awal atas ciri-ciri yang dimilikinya," kata Pioli kepada Sky Sport.

"Kesempatan kali ini digunakan untuk memperbaiki sentuhannya menjelang perlawanan seterusnya."

Pertembungan di San Siro itu berakhir 0-0 sebelum Hakan Calhanoglu memuktamadkan sepakan penalti penentu selepas Ciprian Tatarusanu menepis tendangan Tomas Rincon.





Ini bermakna Milan mara ke suku akhir Coppa Italia untuk musim ke-12 berturut-turut.

"Saya bernasib baik kerana mempunyai pasukan yang reti berjuang, tahu bagaimana untuk beraksi, menderita dalam perlawanan sukar di sebalik kualiti seteru yang dihadapi," katanya lagi.

"Atas deretan peluang yang kami miliki, kami mampu mengelak penentuan sepakan penalti. Tetapi kami tahap fizikal dan mental kami terlampau lesu dan kelayakan ini didorong oleh semangat yang berkobar-kobar."

Milan, yang tiga mata memimpin Serie A, akan mengunjungi Cagliari Selasa depan.