Lionel Messi bukan sebahagian daripada bintang veteran Barcelona yang diarahkan Ronald Koeman untuk kembali menyinar sebelum mereka menewaskan Elche awal pagi tadi, demikian ditegaskan ketua jurulatih itu.

Barca turun ke Camp Nou selepas melewati dua keputusan mengecewakan berturut-turut, tewas 1-4 kepada Paris Saint-Germain (PSG) dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) sebelum diikat 1-1 pada lewat permainan oleh Cadiz.

Ketika Koeman lebih mengharapkan pemain muda seperti Pedri dan Francisco Trincao musim ini, dia menggesa sesuatu yang lebih baik daripada pemain berpengalamannya dalam sidang media sebelum perlawanan terbaru itu.

Ia kelihatan seperti ditujukan buat kapten pasukan berusia 33 tahun, Messi, tetapi Koeman menjelaskan selepas kemenangan 3-0 pasukannya bahawa ia tidak ditujukan buat pemain bintang itu.

Messi, bagaimanapun, mempamerkan aksi sebenarnya apabila menjaringkan dua gol daripada tiga percubaannya selain mencipta peluang dan memainkan peranan penting dalam membina serangan yang disudahkan Jordi Alba.

Buat masa ini, peranan pemain nombor 10 Barca itu tidak wajar dipertikaikan di mana dia telah merekodkan 13 gol dalam kesemua kejohanan sepanjang 2021, rekod tertinggi dalam lima liga utama Eropah.

"Apabila saya bercakap mengenai pemain veteran, saya tidak memaksudkan dia," kata Koeman.

"Leo terus menjaringkan banyak gol.

"Pemain lain perlu melakukan perubahan, bukan Messi. Dia terus menjaringkan gol seperti yang ditunjukkannya hari ini," katanya.

Messi pada awalnya tidak terlalu menyerlah dalam perlawanan itu di mana Barca hanya merekodkan dua percubaan dalam babak pertama melalui Trincao.

Koeman tiada masalah dengan Messi berdasarkan keadaan itu tetapi kecewa dengan aksi pasukannya sepanjang tempoh berkenaan.

"Semua orang dapat lihat kami kekurangan keamatan dan rentak ketika memegang bola.

"Ia baik apabila Messi selaku kapten mahukan keamatan," katanya lagi.