Ejen kepada Neymar berasakan dua penyerang terbaik dunia, Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo, boleh menyertai bintang Brazil itu di Paris Saint-Germain (PSG).

Masa depan Messi menjadi tanda tanya selepas Barca tewas 2-8 dan disingkirkan oleh Bayern Munich dalam suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Terdapat juga spekulasi bahawa Juventus bersedia untuk menjual Ronaldo, yang memenangi dua gelaran Serie A dalam dua musimnya di Turin tetapi gagal membawa pasukan itu mengecapi kejayaan di peringkat Eropah.

Neymar sebelum ini dikaitkan dengan kepulangan ke Sepanyol, sama ada menyertai Barca atau Real Madrid dan Wagner Ribeiro mengakui pemain itu pernah memikirkan mengenai perpindahan berkenaan.

Bagaimanapun, dia kini yakin penyerang itu akan kekal di Perancis sekurang-kurangnya sehingga 2022 dan berasakan Messi dan Ronaldo berkemungkinan akan menyertai pemain itu di Parc des Princes seandainya pemilik PSG dari Qatar dapat melakukan pelaburan yang sepatutnya.

"Ada satu ketika di mana dia (Neymar) berasa sedih kerana kecederaannya," kata Ribeiro kepada Placar.

"Pada ketika itu, dia cenderung untuk berpindah, sama ada pulang ke Barcelona atau menyertai Real Madrid.

"Tetapi tidak lagi pada hari ini, anda dapat lihat betapa dia gembira sekarang.

"Tinggal di 'bandar bercahaya' ini, di mana semua orang mahu ke sini, menikmati makanan Perancis, tinggal di rumah yang cantik, rakan-rakan dan keluarga berada dekat dengannya, bermain untuk salah satu kelab terbaik, ia merupakan apa yang diperlukan atau diinginkan oleh setiap orang.

"Apa lagi alasan untuk dia meninggalkan PSG hari ini?

"Neymar gembira dan saya fikir dia akan kekal di PSG untuk sekurang-kurangnya dua tahun lagi.

"Hari ini, tanpa sebarang keraguan, lebih mudah untuk Messi menyertai PSG daripada untuk Neymar pulang ke Barcelona.

"Messi dan Cristiano Ronaldo. Saya serius. Anda tidak boleh meragui kekuatan ekonomi Qatar," katanya.

Neymar dan PSG sedang mempersiapkan diri untuk menghadapi Bayen Munich dalam final UCL hujung minggu ini selepas menewaskan RB Leipzig 3-0 dalam separuh akhir.