Persembahan inspirasi Lionel Messi sepanjang bulan lalu menyaksikan ketua pasukan Barcelona itu dinobat Pemain Terbaik Bulanan buat pertama kali musim ini.

Messi kembali menonjolkan permainan terbaiknya dalam kempen 2020-21 apabila menjaringkan tujuh gol, lebih dua berbanding bulan sebelumnya.

Tiada pemain yang mampu meledak lebih banyak gol daripada dia sementara Alexander Isak daripada Real Sociedad menjadi satu-satunya pemain berbeza yang merekodkan lebih empat gol dalam masa sebulan.

Sentuhan pemusnah bintang Argentina itu membantu Barca memenangi empat daripada lima perlawanan yang kesemuanya menyaksikan dia menyumbangkan setidak-tidaknya satu gol.

Justeru, membolehkan Barca menyalakan semula peluang mereka untuk memburu kejuaraan pada penghujung terakhir musim ini dengan Blaugrana hanya lima mata dipisahkan dengan pendahulu, Atletico Madrid.



Walaupun pasukan bimbingan Diego Simeone itu masih memiliki baki satu perlawanan, Los Colchoneros bagaimanapun bakal mengalami ujian getir pertembungan 'derby' dengan Real Madrid, malam esok.

Komitmen Messi sempat dipersoalkan awal kempen ini selepas berhasrat meninggalkan kelab itu ketika pra-musim.

Dia hanya mencetak empat gol setakat Disember lalu sebelum menambah bilangannya kepada tiga lagi -- dia sudah meledak 12 jaringan sepanjang 2021 dan menguasai carta'Pichichi' dengan 19 gol, tiga jaringan mengatasi pesaing dan rakan rapatnya, Luis Suarez.

Messi merupakan pemain Barcelona kedua yang memenangi anugerah itu musim ini selepas Ansu Fati -- yang tersisih lama akibat kecederaan -- meraihnya September lalu.

Ketua pasukan skuad bimbingan Ronald Koeman itu mengetepikan Isak, Yassine Bounou, Thibaut Courtois, Alex Berenguer, Nabil Fekir dan Jose Luis Morales untuk merebut gelaran tersebut.