Pertahanan Barcelona, Lucas Digne, menegaskan Lionel Messi berhak memenangi Ballon d'Or walaupun terlepas daripada menjuarai LaLiga dan Liga Juara-Juara (UCL).

Messi berjaya meledak 54 gol dalam semua kejohanan musim ini tetapi Ronaldo berada dalam petak pertama untuk mempertahankan anugerah bola emas yang diraihnya pada musim lalu selepas membantu Real Madrid menjuarai LaLiga dan UCL.

Bagaimanapun, pertahanan kebangsaan Perancis, Digne, menegaskan tiada pemain yang dapat menyaingi Messi bagi musim 2016-17.

"Saya percaya Messi berhak memenangi Ballon d'Or musim ini kerana dia merupaka pemain yang terbaik setakat ini," katanya.

"Pemain-pemain lain mungkin memenangi piala dan menjadi pemain berkualit, tetapi mereka tidak memiliki kemahiran seperti Messi."

Messi muncul penjaring terbanyak LaLiga dengan 37 gol, Suarez di tempat kedua (29 gol) dan Ronaldo di tempat ketiga (25 gol).

Dia juga menjaringkan 11 gol dalam saingan UCL, bagaimanapun Barcelona tersingkir daripada saingan tersebut selepas tewas kepada Juventus dalam suku akhir.